Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa yang tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan berasal dari Kampung Pondo Pulau Gaya maut di lokasi kejadian dalam keadaan putus kedua-dua belah kaki dan tangannya.



Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisionr Habibi Majinji berkata, berikutan kejadian itu juga, sampan yang digunakan mangsa turut pecah akibat letupan bom ikan tersebut.



“Pada mulanya, pihak kita dimaklumkan mengenai kejadian oleh Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang terdengar bunyi letupan ketika melabuhkan bot di tepi pantai pulau berhampiran kira-kira pukul 10.30 pagi.



“Pemeriksaan dilakukan oleh mereka seterusnya mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun berdiri di tepi pantai sedang menangis dan memaklumkan kejadian itu,” katanya di sini hari ini.



Tambah Habibi, kanak-kanak itu kemudiannya membawa Pegawai Maritim tersebut ke lokasi kejadian sebelum mereka menemukan mayat remaja lelaki itu dalam keadaan terapung.



“Dengan bantuan pasukan Polis Marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, mayat mangsa telah diangkat sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk bedah siasat, ”ujarnya– BERNAMA