Remaja terbabit, Farah Amani Mohammad Fauzi, disedari hilang selepas ibunya mendapati remaja tingkatan tiga itu tidak ada dalam biliknya ketika ingin mengejutkan untuk solat subuh kira-kira pukul 6 pagi hari ini.

Bapanya, Mohammad Fauzi Abd. Wahab, 46, berkata, kali terakhir anak bongsu daripada dua beradik itu dilihat kira-kira pukul 11 malam sebelum dia masuk ke bilik untuk tidur.

Menurutnya, kali terakhir dia dilihat memakai seluar trek panjang serta berjaket hitam serta telefon bimbitnya juga dipercayai turut dibawa Farah Amani.

“Kami cuba menghubungi telefon bimbitnya namun tidak diangkat. Bagaimanapun, petang tadi kira-kira pukul 5 petang tadi dia ada menghantar mesej menerusi Instagram kepada ibunya.

“Dia memaklumkan berada di hadapan kedai serbaneka di Taman Seremban Putra, Seremban di Negeri Sembilan serta kelaparan. Namun apabila kami cuba menelefonnya, panggilan itu tidak dijawab,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Mohammad Fauzi, susulan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tun Hussein Onn dekat sini.

Sementara itu, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff mengesahkan menerima laporan itu dan usaha mengesan remaja terbabit giat dijalankan.- UTUSAN ONLINE