Mereka termasuk seorang wanita berusia sehingga 21 tahun itu ditahan di sebuah kondominium mewah yang dijadikan pusat operasi dalam serbuan bermula pukul 11 malam hingga 6 pagi Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, sindiket itu yang beroperasi sejak tiga bulan lalu menawarkan aktiviti judi online menerusi laman web yang dibangunkan secara khas.

Ujarnya, sindiket itu mensasarkan warga tempatan dengan mempromosikan aktiviti perjudian online melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan WhatsApp yang dihantar secara rawak melibatkan pertaruhan mencecah RM1,000 hingga RM2,000 setiap hari.

“Aktiviti perjudian pertaruhan yang dianjurkan adalah jenis Slot, Rolex, Black Jack, Live Game dan Poker dengan jumlah minimum pertaruhan sebanyak RM10 dengan tiada had maksimum.

“Setiap transaksi wang dibuat melalui akaun bank utama seperti Maybank, CIMB, Hong Leong dan RHB dan operator yang bekerja di pusat operasi berperanan menguruskan setiap transaksi keluar masuk wang secara dalam talian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ujar beliau, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas satu set meja komputer; lima buah telefon bimbit pelbagai jenama; tiga keping kad akses rumah dan tiga kotak mengandungi pelbagai jenis kad sim.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, tambah beliau, polis turut menahan tiga lelaki dan dua wanita Indonesia berusia 24 hingga 33 tahun kerana menjalankan aktiviti perjudian di sebuah kondominium di Relau, di sini dalam operasi bermula pukul 2 hingga 6 pagi Selasa lalu.

Katanya, suspek merupakan ahli sindiket online sama yang ditahan bulan lalu melibatkan 16 warga Indonesia yang mensasarkan rakan senegara dengan mempromosikan aktiviti perjudian menerusi apliskasi WeChat dan WhatsApp.

“Aktiviti perjudian sindiket ini berpangkalan di Indonesia dan setiap transaksi dibuat melalui akaun bank Indonesia antaranya Bank Negara Indonesia (BNI), Bank Rakyat Indonesia (B)RI dan Bank Central Asia (BCA).

“Operasi ini dipercayai beroperasi sejak lima bulan lalu dan menyewa di kondominium itu untuk dijadikan pusat khidmat panggilan berpusat dengan keuntungan mencecah antara RM3,000 hingga RM5,000,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua kes iti disiasat mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Pertaruhan 1953 manakala warga asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1960. - UTUSAN ONLINE