Kejadian pukul 6.30 petang itu berlaku ketika mangsa Mohd Danish Iskandar Paudin, 13, dalam perjalanan ke rumah sepupunya yang terletak tidak jauh dari rumah untuk mengambil buah rambutan.

Mohd. Danish yang menunggang motosikal secara berseorangan berkata, dia dihampiri sebuah van putih dan terpaksa berhenti apabila kenderaan itu menghalang laluannya.

Menurutnya, secara tiba-tiba seorang lelaki turun daripada van putih itu lalu bertindak menariknya masuk ke dalam kenderaan tersebut.

"Saya bertindak berani dengan menolak tangan lelaki berkenaan. Dia mengeluarkan senjata tajam dan melibas ke arah saya. Nasib baik saya sempat mengelak senjata tajam itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mohd. Danish memberitahu, selepas gagal menangkap dia, lelaki yang bertutur dalam bahasa Cina terbabit berlalu pergi namun sempat membuat isyarat supaya dia tidak menghebohkan kejadian tersebut.

"Saya bersyukur kerana terselamat daripada menjadi mangsa. Namun masih berasa takut untuk keluar sendirian," katanya sambil memberitahu terdapat lagi lelaki lain berada di dalam van terbabit.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas Superintanden Ismail Jusoh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut dan siasatan lanjut sedang dilakukan. - UTUSAN ONLINE