PEGAWAI polis berpangkat inspektor yang dipercayai meminta rasuah sebanyak RM10,000 daripada seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan, semalam. UTUSAN/Saharuddin Abdullah

Perintah reman yang bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi setelah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasu­ah Malaysia (SPRM) cawangan Klang selepas suspek itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada kira-kira pukul 10.15 pagi.

Selepas prosiding tersebut, pegawai polis berusia 33 tahun itu yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kemudian dihantar ke lokap tahanan SPRM Putrajaya dekat sini untuk disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Menurut sumber SPRM, pegawai polis itu ditahan berikutan laporan daripada seorang bapa berumur 44 tahun yang mendakwa suspek terbabit meminta wang sebagai balasan mengurangkan jumlah pertuduhan ke atas anak lelakinya berumur 19 tahun yang ditangkap kerana memiliki barang curi pada awal April lalu.

Bapa kepada remaja terbabit men­dakwa pegawai polis berke­naan meminta wang balasan ter­babit daripadanya pada 16 Mei lalu sebelum dia membuat laporan kepada SPRM di cawangan Klang semalam.

Hasil risikan, pegawai polis itu ditahan SPRM pada kira-kira pukul 9.10 malam semalam di sebuah restoran di Taman Sentosa Villa, Kajang.