Bapa mangsa, Azman Abdullah, 46, berkata, ketika bersembang dengan isterinya, Siti Rohasni Abdul Rashid, 40, Allahyarham yang merupakan anak kedua dari enam beradik itu secara tiba-tiba bertanyakan soalan pelik namun ibunya itu menganggap arwah hanya bergurau.

“Arwah tanya, rasa-rasanya dia akan pakai baju pengantin dulu atau kain kapan dulu. Ibunya terus tegur, tak elok Angah cakap macam itu.

“Kami memang tidak sangka segala tingkah laku peliknya semenjak akhir-akhir ini menjadi petanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang semalam, Mohamad Amiraasyraf maut akibat tertimbus tanah runtuh ketika mendulang emas bersama bapanya di Ladang Fokus Bonanza, Dabong.

Bapa mangsa bergegas mendapatkan bantuan rakan dan orang ramai untuk mencari mangsa dan mayat remaja terbabit berjaya ditemukan kira-kira pukul 6.40 petang hari yang sama.

Azman dalam pada itu berkata, sejak akhir-akhir ini, arwah menunjukkan sikap yang lebih riang serta sangat rajin berbeza dengan hari kebiasaannya.

“Saya memang akan pergi melombong emas setiap kali tidak menoreh dan semalam, arwah beritahu mahu tolong saya mendulang. Dia juga memberitahu saya supaya berehat dan biarkan dia yang buat kerja.

“Ada kawan arwah beritahu, sehari sebelum kejadian, anak saya ada bersoloroh dengannya bahawa semalam adalah hari terakhir dia akan mendulang emas. Malah dia sangat ceria dan keluar belanja rakan-rakan makan, selain beri wang kepada emaknya supaya membeli barang keperluan,” katanya.

Menceritakan semula kejadian, Azman memberitahu, dia melihat Allahyarham menyelam dan dalam masa sama tanah pecah kira-kira 20 kaki secara memanjang sehingga menimbus remaja itu.

“Cemas dengan kejadian itu, saya segera memanggil rakan dan orang kampung untuk mencari arwah dan mayat ditemui kira-kira pukul 6.40 petang, “ katanya. - UTUSAN ONLINE