Suspek yang bekerja di sebuah pasar raya di Kepala Batas itu berpakat dengan empat individu lain untuk mewujudkan kejadian samun ketika dia mahu memasukkan wang jualan syarikat ke dalam bank bersama rakan sekerja wanitanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita itu berhubung kejadian samun tersebut di Jalan 2, Kepala Batas kira-kira pukul 8.55 malam yang benar-benar berlaku.

"Dia mendakwa membawa wang tersebut di atas riba sambil membonceng motosikal ditunggangi seorang penolong penyelia pelatih syarikat berusia 25 tahun.

"Bagaimanapun dakwanya, dua lelaki bermotosikal secara tiba-tiba menarik beg itu yang mengandungi wang RM20,400 sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Namun, menurut Noorzainy, taktik itu terbongkar selepas polis menahan tiga lelaki berusia 19 hingga 23 tahun yang terlibat dalam kes samun itu keesokan harinya.

Katanya, kedua-dua wanita yang menjadi 'mangsa' terbabit turut ditahan pada hari sama dan kesemua mereka mengaku terlibat dalam kejadian rompakan itu.

"Wanita berusia 53 tahun itu mendakwa dia merancang insiden samun tersebut kerana memerlukan wang untuk membayar faedah hutang along yang dibuatnya," katanya.

Noorzainy berkata, siasatan mendapati wang tersebut telah diagih-agihkan sesama mereka sebanyak RM4,000 setiap seorang dengan sebahagiannya disimpan di dalam bank.

Sehubungan itu, katanya, polis turut merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit yang dipercayai dibeli menggunakan wang berkenaan selain wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM12,060.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin bagi siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE