Perkara itu disahkan oleh seorang jurucakap Wisma Putra kepada Utusan Online.

Thang Kheong yang berasal dari Johor meninggal dunia di Pusat Perubatan NYU Langon, New York selepas menjadi mangsa serangan di sebuah restoran makanan laut di Emmons Avenue, Brooklyn.

Dia sebelum ini diumumkan mengalami kematian otak (brain dead) ekoran serangan berkenaan.

Menurut saksi, seorang lelaki, yang kemudiannya dikenal pasti sebagai pekerja pembinaan, Arthur Martunovich, 34, menyerbu masuk restoran berkenaan dan mula memukul kepala pekerja-pekerja menggunakan tukul.

Seorang pelanggan yang mengalami trauma selepas insiden itu berkata, darah dilihat memercik di sekitar restoran.

New York Post melaporkan, Martunovich selepas itu melarikan diri ke kawasan parkir premis namun pihak polis berjaya menjejaknya dalam masa yang singkat.

Ketika diberkas, Martunovich iaitu seorang pendatang Estonia dilaporkan memberitahu pihak polis bahawa dia tergerak melakukan serangan selepas menonton sebuah filem Cina yang didakwanya menggambarkan 'lelaki mengasari wanita'.

Berdasarkan apa diperkatakannya di balai polis, seorang pegawai memberitahu bahawa Martunovich mempunyai masalah dengan orang Asia.

Martunovich didakwa membunuh, melakukan cubaan membunuh dan memiliki senjata serta dijangka akan dinilai dari sudut psikiatrik psikiatrik. - UTUSAN ONLINE