Menerusi satu kenyataan, polis memaklumkan bahawa botol kecil tersebut ditemukan di kediaman Charlie Rowley di Amesbury pada 11 Julai lalu iaitu empat bulan selepas bekas perisik Rusia, Sergei Skripal dan anak perem­puannya, Yulia diracun dengan bahan yang sama.

“Para saintis mengesahkan bahawa bahan dalam botol kecil itu adalah Novichok dan ujian pengesahan dilakukan di makmal pertahanan Porton Down,” jelas kenyataan tersebut.

Rowley, 45, dan pasangannya, Dawn Sturgess, 44 ditemukan tidak sedarkan diri di rumahnya pada 30 Jun lalu.

Namun, Sturgess meninggal dunia pada Ahad lalu, manakala Rowley mula sedar dan sudah melepasi tahap kritikal.

Polis memaklumkan bahawa anggotanya dapat berkomunikasi sedikit dengan Rowley selepas dia sedar.

Insiden itu berlaku selepas Skripal dan anak pe­rempuannya yang kini sudah pulih ditemukan tidak sedarkan diri di atas sebuah bangku di bandar Salisbury pada 4 Mac lalu.

Kejadian itu menimbulkan krisis diplomatik dunia selepas Britain menuduh Rusia melakukan serangan terhadap Skripal dan anak perempuannya dan Moscow bertegas menafikan semua dakwaan yang dilontarkan oleh London.

Dalam pada itu, ujian lanjut turut dilakukan untuk melihat jika Novichok yang digunakan terhadap Rowley serta pasangannya itu adalah lebihan daripada bahan terdahulu yang meracuni Skripal.

Polis juga memaklumkan bahawa siasatan terperinci giat dilakukan bagi mengenal pasti dari mana botol berkenaan dan bagaimana ia boleh berada dalam kediaman Rowley.

Ketua Jabatan Polis Anti Keganasan United Kingdom (UK), Neil Basu menyatakan bahawa penemuan botol kecil itu dilihat sebagai perkembangan positif dan signifikan.

Bagaimanapun jelas beliau, polis tidak dapat memberi jaminan bahawa tiada lagi bahan yang ditinggalkan dan kawalan ketat akan diteruskan sehingga siasatan selesai.

“Hal ini bagi membolehkan siasatan menyeluruh diadakan, selain sebagai langkah berjaga-jaga untuk menjamin keselamatan awam dan membantu pasukan penyiasat,” ujarnya.

Pejabat Kementerian Luar Britain juga memaklumkan pi­haknya kini menjemput pakar teknikal bebas dari badan pemantau senjata kimia antarabangsa ke negara ini untuk membantu siasatan. AFP