Perkara itu susulan Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak permohonan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman untuk menangguhkan sementara prosiding inkues yang diadakan bagi menyiasat punca kematian anggota bomba tersebut.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang disidangi Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Stephen Chung Hian Guan memutuskan demikian selepas mengambil kira mengambil kepentingan umum dan isu kontroversi.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tarikh 4 Mac ini untuk mendengar prosiding permohonan jawatankuasa kuil tersebut.

Prosiding itu ditetapkan bagi mendengar hujah peguam Datuk M. Visvanathan yang mewakili jawatankuasa kuil berkenaan berhubung kelayakan badan itu untuk mewakili rumah ibadat tersebut berdasarkan Akta Pertubuhan.

Selain itu, prosiding juga mendengar afidavit balas oleh pihak responden yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar berhubung permohonan penangguhan inkues itu.

Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman sebelum ini memfailkan notis usul untuk menangguhkan inkues dan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung permohonan menjadi pihak terlibat dalam inkues.

Pada 8 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ab. Karim Ab. Rahman mengekalkan keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam yang menolak permohonan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman.

Koroner Rofiah Mohamad pada 31 Januari lalu membuat keputusan tersebut setelah mempertimbangkan perkara itu mengikut Seksyen 337 Kanun Tatacara Jenayah.

Inkues yang kini memasuki hari kelapan dijalankan bagi mencari punca kematian Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa. - UTUSAN ONLINE