Namun berbeza buat dua calon dari Sekolah Integriti Bentong (W), di sini, apabila mereka terpaksa melakukannya di sebalik tirai besi iaitu dari dalam Penjara Bentong.

Kedua-dua pelajar itu kini menjalani hukuman masing-masing kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1980) kerana menghisap, mengawal atau menyimpan dadah berbahaya.

Hakikatnya mereka kini menjalani kehidupan sebagai seorang banduan.

Seorang di bawah Tahanan Limpah Sultan (TLS) iaitu menjalani hukuman penjara selama yang diperkenan oleh sultan manakala seorang lagi bakal dibebaskan Disember ini.

Biarpun kini hidup di sebalik tembok batu dan dikelilingi tirai besi, hak mereka untuk mendapat pendidikan tidak dinafikan, tetap terbuka luas malah mendapat sokongan pihak penjara dan Kementerian Pendidikan. Antaranya dengan penubuhan Sekolah Integriti Bentong (W) sejak 2012.

Semalam, dua tahanan berkenaan diraikan dalam Program Restu Ilmu SPM 2017 yang diadakan di Penjara Bentong.

Seperti juga program seumpamanya yang diadakan di sekolah harian biasa, keluarga kedua-dua calon SPM itu turut dijemput hadir untuk memberikan restu dan doa agar mereka dapat menduduki peperiksaan penting tersebut dengan tenang dan yakin.

Timbalan Pengarah Penjara Bentong, Penolong Komisioner Kanan Aminon Adnan berkata, majlis tersebut diadakan bagi menyuntik semangat pelajar berkenaan agar tabah menduduki SPM biarpun terpaksa menjalaninya di penjara.

“Kita mahu mereka ini apabila keluar dari penjara menjadi orang yang berguna kepada keluarga dan masyarakat.

“Pasti ibu bapa atau keluarga mengharapkan anak-anak mereka berubah menjadi insan yang lebih baik apabila pulang ke pangkuan mereka nanti,” katanya semasa berucap pada majlis itu yang dihadiri Utusan Online.

Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pahang, Datuk Seri Johny Ch’ng Ewe Gee.

Sementara itu, Johny berkata, keluarga memainkan peranan penting bagi memastikan calon SPM bersedia untuk menduduki peperiksaan tersebut.

“Oleh itu melalui program ini, setiap calon SPM berpeluang berjumpa dengan keluarga masing-masing agar mereka lebih bersemangat apabila tiba waktu peperiksaan nanti,” ujarnya.

Sehingga kini seramai 200 orang belajar di sekolah tersebut dengan sebanyak 16 orang sedang membuat persediaan menduduki SPM pada tahun akan datang.- UTUSAN ONLINE