Ketua Pegawai Penguatkuasa PPDNHEP Daerah Seberang Perai Selatan, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, dalam operasi yang dijalankan kira-kira pukul 7 pagi itu, seramai lima anggota menyerbu premis tanpa nombor tersebut yang didapati menjalankan aktiviti pemindahan LPG bersubsidi ke LPG industri.

Bagaimanapun, meurutnya, tiada sebarang tangkapan dibuat kerana ketika serbuan semua suspek yang berada di premis tersebut berjaya meloloskan diri.

“Semasa serbuan dibuat, didapati proses pemindahan LPG tersebut baharu dijalankan, ini kerana terdapat longgokan ais yang banyak dan masih baharu berada di atas tong-tong LPG berkapasiti 50 kg,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Ahmad Ahrazzuddin, dalam operasi itu, pihaknya turut menyita sebuah lori, 58 tong gas LPG 50 kilogram (kg) dan 203 unit tong gas 14 kg bersubsidi.

“Kita dapati sebanyak 55 tong berisi LPG manakala bakinya iaitu 148 tong adalah kosong manakala sebanyak 20 unit hos saluran getah turut disita,” katanya.

Tambah beliau, PPDNHEP memandang serius terhadap aktiviti-aktiviti penyelewengan LPG dan akan terus membanteras aktiviti tersebut daripada terus berleluasa dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. - UTUSAN ONLINE