Seramai 16 individu termasuk seorang wanita dicekup polis ketika sedang asyik berjudi 'tong kaw' ditahan pukul 3 pagi yang berusia antara 21 hingga 71 tahun.

Pegawai Turus D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Deputi Superintenden Mohd. Zairi [email protected] berkata, hasil risikan yang dijalankan aktiviti perjudian yang beroperasi sejak sembilan hari lalu.

"Hasil risikan mendapati premis kecantikan rambut ini menjadi sarang judi tong kaw bagi tujuan mengaut keuntungan dengan begitu mudah.

"Modus operandi sindiket perjudian ini menggunakan kepingan cip dan wang tunai sebagai nilai pertaruhan. Ketika serbuan dibuat, kesemua suspek sedang leka berjudi dengan nilai pertaruhan keseluruhan dianggarkan RM139,114," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Zairi berkata, dalam serbuan tersebut, turut dirampas wang tunai RM67,314, S$1,000 (RM2,996), 38 cip bernilai RM1,000 setiap satu, enam cip bernilai RM5,000 setiap satu, 38 cip bernilai RM100 setiap satu, meja kayu, dua buah dadu dan 16 buah mahjong.

Katanya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 manakala penganjur perjudian disiasat di bawah Seksyen 4(1)a atau Sek 4(1)b Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 kerana membenarkan permainan judi dimainkan dalam premisnya. - UTUSAN ONLINE