Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4, Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dua lelaki berumur 17 dan 50 tahun itu ditahan pada 5.30 petang dalam Operasi Pensura Khas selepas Unit Risik Marin (URM) PPM mengesan gerak geri kedua-dua suspek.

“Sebuah perahu ditahan di kawasan laut Pondohan Semporna dan pemeriksaan awal mendapati terdapat dua lelaki juragan yang membawa muatan jerikin pelbagai saiz berisi minyak.

“Kedua-duanya dipercayai mahu bergerak ke Sitangkai, Filipina,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri memberitahu, tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan kawalan bekalan dan jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda RM1 Juta bagi orang perseorangan serta penjara tiga tahun. - BERNAMA