Menurut Ketua Pengawai Penguatkuasa PPDNHEP negeri, Azman Adam, serbuan itu dilakukan kira-kira pukul 8.45 malam selepas menerima maklumat daripada orang awam termasuklah risikan yang dilakukan oleh pihaknya sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun ketika serbuan, premis terbabit didapati tidak berpenghuni manakala nilai kesemua tong LPG yang dirampas dianggarkan sebanyak RM5,060.

"Kita terpaksa memecahkan pintu utama untuk memasuki premis terbabit sebelum melakukan pemeriksaan lanjut. Kita dapati selain tong gas, kita turut menemukan lima buah lori yang dipercayai digunakan untuk mengangkut bahan bakar itu.

"Daripada 66 tong gas yang disita, 26 daripadanya berisi dengan LPG," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini selain memaklumkan kesemua tong LPG itu dibawa ke stor PPDNHEP Selangor untuk tindakan lanjut.

Tambah Azman, kes itu disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

Sabit kesalahan pemilik boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - UTUSAN ONLINE