Kedua-dua lelaki berusia 26 dan 36 tahun itu ditahan pada pukul 3 petang ketika mahu membeli telefon bimbit menggunakan wang palsu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kegiatan suspek dise­dari pekerja premis berke­naan selepas melihat empat ke­ping duit yang diberikan lelaki terbabit mempunyai nombor siri yang sama.

Menurutnya, susulan itu, pe­kerja premis telah memaklumkan kepada majikannya sebelum mereka bertindak menghubungi pihak polis.

“Siasatan awal mendapati suspek telah menyerahkan wang tunai berjumlah RM600 iaitu empat keping wang kertas RM100 dan empat keping RM50 bagi membeli sebuah telefon pintar jenis Huawei.

“Kedua-dua suspek kemudian keluar dari kedai itu sebelum memasuki sebuah lagi premis berhampiran untuk membuat urusan pembelian telefon lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, tindakan pantas polis berjaya menangkap kedua-dua suspek yang sedang leka memilih telefon pintar di premis berkenaan.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut juga menemukan sekeping wang tunai RM100 palsu pada seorang daripada suspek selain enam te­lefon pintar pelbagai jenama dan dua buah komputer riba dipercayai dibeli dengan wang palsu di dalam kereta.

“Pemeriksaan juga dijalankan di rumah inap desa yang disewa di Taiping dan menemui 36 ke­ping wang RM100 palsu bersama pelbagai peralatan mencetak wang berkenaan.

“Modus operandi mereka ialah sering berpindah bagi me­ngaburi kegiatan mereka daripada dikesan. Menerusi kegiatan ini mereka mampu mencetak 2,000 keping wang kertas palsu sehari dan kegiatan ini telah dilakukan sejak setahun yang lalu,” kata­nya.

Tambah Omar Bakhtiar, ke­dua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan sama dan turut dikehendaki polis atas empat kes yang dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan mereka direman selama tujuh hari hingga 28 Mei ini,” katanya.