Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, operasi dengan kerjasama anggota dari Ibu pejabat Kontinjen Kedah (IPK) Kedah itu dilakukan di dua rumah di Kuala Kedah dan Alor Setar yang menahan lapan pekerja berusia 19 hingga 34 tahun disyaki terlibat dengan judi itu.

Katanya, dalam operasi itu pihak polis turut mendapati seorang pekerja terdiri remaja berusia 15 tahun yang menjalankan aktiviti sindiket perjudian dalam talian itu.

“Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak awal tahun ini, yang mana pada 16 Ogos lepas sepasukan polis dari IPD Kota Setar serta IPK negeri mendapat maklumat

mengenai urus niaga perjudian dilaksanakan di sebuah rumah di Kuala Kedah. Hasil daripada serbuan tangkap tujuh suspek serta menyelamatkan seorang remaja 15 tahun.

“Kesemua mereka ini dipercayai terlibat dalam urus niaga judi dalam talian iaitu melalui satu laman web, 918Kiss. Hasil daripada tangkapan pertama ini membawa kepada serbuan kedua pada 20 Ogos di Taman Saga di sini dan menahan seorang lelaki 34 serta rampas barang yang ada kaitan dengan judi online. Sindiket dipercayai menarik pelanggannya melalui WeChat,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di IPD Kota Setar di sini hari ini.

Katanya, kesemua terlibat direman selama tujuh hari dan remaja yang diselamatkan itu ditempatkan di rumah perlindungan.

“Mereka dibayar gaji antara RM80 sehari dan lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai dalangnya,” katanya.

Tambahnya, polis turut merampas pelbagai barang yang dipercayai ada kaitan dengan judi dalam talian itu termasuk wang tunai dengan anggaran keseluruhan

RM150,000.

“Polis turut merampas sebuah kereta daripada suspek yang ditahan di Taman Saga iaitu sebuah kereta Honda Civic dipercayai hasil kegiatan judi itu,” katanya.