Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya juga telah bertemu dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) serta peguam yang mewakili ibu kanak-kanak berkenaan bagi membincangkan kes tersebut.

“Dalam pertemuan itu, kita ada bertukar pandangan serta maklumat.

“Namun, polis masih gagal untuk mengesan lokasi kanak-kanak serta bapanya biarpun maklumat diterima mengatakan mereka berada di Johor dan Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Dalam pada itu, menurut Mohamad Fuzi, pihaknya menolak kemungkinan bahawa kanak-kanak itu serta bapanya, Muhammad Riduan Abdullah, seorang mualaf sebelum ini dikenali sebagai K. Patmanathan berada di luar negara.

Kes kehilangan kanak-kanak itu mencetuskan kontroversi apabila dia dibawa lari oleh bapa kandungnya ketika berusia 11 bulan susulan perebutan hak penjagaan.

Prasana Diksa dibawa lari pada tahun 2009 selepas Riduan yang menukar agama bercerai dengan Indira Gandhi.

Walaupun waran tangkap telah dikeluarkan ke atas Muhammad Riduan namun sehingga hari ini lelaki tersebut termasuk anaknya yang dipercayai kini berusia 11 tahun tidak dapat dikesan.- UTUSAN ONLINE