Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata suspek yang merupakan bekas pekerja kepada mangsa ditahan di sebuah rumah di Kampung Pandan 1 di sini, pada pukul 11 pagi semalam.

“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu. Polis juga merampas satu plastik lutsinar yang dipercayai dadah yang digunakan suspek,” katanya di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata polis kini giat mengesan seorang lagi suspek disyaki dalang utama rompakan itu dan dipercayai menyimpan barangan yang dilarikan.

Semalam, seorang ahli perniagaan berusia 31 tahun kerugian RM100,000 selepas telefon bimbit dan 15 utas jam tangan berjenama dilarikan oleh dua lelaki yang mengumpil pintu rumahnya di Bandar Damansara di sini.

Suspek turut merosakkan kereta mewah jenama Porsche yang diletakkan di garaj rumah itu, dipercayai akibat berang selepas gagal melarikan kereta tersebut.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian berlaku pada 6 Dis lalu, namun hanya disedari mangsa pada 19 Disember lalu kerana berada di Kuala Lumpur atas urusan perniagaan sejak dua bulan lepas. - BERNAMA