Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, suspek didapati menyamar sebagai pegawai daripada istana negeri ini dengan jawatan Setiausaha Dewan di-Raja Selangor selain menawarkan anugerah serta gelaran 'Dato' kepada individu bernama Goh Boon Leong.

Malah, beliau mengesahkan telah menerima satu laporan mengenai kes penipuan dan menyamar sebagai pegawai Istana Selangor itu pada Isnin lalu.

"Oleh demikian, siasatan telah dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor dibawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu tipu dengan jalan penyamaran yang membawa memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Kita menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu sekiranya ada sebarang keraguan melibatkan penganugerahan darjah dan bintang kebesaran negeri Selangor bagi mengelak terpedaya dengan cubaan individu tertentu melakukan penipuan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mazlan turut yakin akan menyelesaikan kes itu dalam tempoh terdekat.

Semalam,  Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais dalam kenyataan menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang surat tawaran penganugerahan darjah dan bintang kebesaran termasuk gelaran 'Dato' kepada individu yang bernama Goh Boon Leong.

Malah, Dewan di-Raja Selangor turut mengesahkan surat tawaran itu sebagai palsu dan turut membuat laporan polis tentang perkara tersebut kononnya surat tawaran darjah dan bintang kebesaran berkenaan telah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - UTUSAN ONLINE