Dalam operasi pada pukul 12.15 tengah malam itu, sepasukan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) D9 dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen Kedah dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Padang Terap melakukan pemeriksaan di dua blok rumah ladang di kampung berkenaan lalu menemukan mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, seorang lelaki tempatan bertindak mengupah dan melindungi beberapa lelaki warga asing di ladang berkenaan.

“Dilaporkan lelaki berusia 46 tahun itu terlibat dalam kegiatan menanam dan mengupah warga asing tanpa permit sah untuk memetik ketum sebagai pendapatan komersial.

“Dalam Op Pintas Naka, kita menyelamatkan mangsa eksploitasi yang terdiri daripada 11 lelaki, sembilan orang wanita dan tiga orang kanak-kanak warga Kemboja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mior Farid Al Atrash, pihaknya menahan lelaki berkeuturunan Siam tersebut kerana mengupah kesemua PATI berkenaan memetik daun ketum dalam ladangnya.

“Siasatan terhadap lelaki tersebut juga mendapati dia mempunyai satu rekod lampau berkaitan akta racun.

“Dalam operasi itu, kita juga merampas kira-kira 1,025 kilogram daun ketum dalam 205 beg plastik. Turut dirampas barang-barang kegunaan untuk bekerja seperti pakaian, kasut, lampu suluh, guni, beg dan pisau,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen ATIPSOM 2007 ( Akta 670 ) dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. - UTUSAN ONLINE