Dalam serbuan dijalankan Bahagian Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dan Selangor kira-kira pukul 12.30 malam itu, sebanyak 28 individu termasuk lima wanita ditahan.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahbudin berkata, ketika serbuan dijalankan, kesemua mereka sedang leka bermain mahjong.

“Ini merupakan serbuan Op Limau yang diadakan sempena sambutan Tahun Baru Cina yang melibatkan tujuh pegawai serta 13 anggota dari Bukit Aman dan Selangor.

“Dalam serbuan tersebut, kita turut merampas meja mahjong, 32 domino stick, dua dadu, empat kerusi dan meja serta wang tunai disyaki digunakan untuk pertaruhan yang keseluruhannya berjumlah RM98,885,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Khaizam, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - UTUSAN ONLINE