Timbalan Ketua Polis ne­geri, Datuk Roslee Chik berkata, pemeriksaan terhadap suspek itu awal pagi semalam mene­mukan satu ketulan mampat disyaki ganja seberat satu kilogram (kg).

Menurut beliau, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di kawasan sekitar dan berjaya merampas sembilan ketulan mampat disyaki ganja.

“Operasi diteruskan dengan menahan seorang lelaki yang memandu kereta jenis Honda City dan pemeriksaan mendapati bahagian dalam kereta telah diubah suai namun polis berjaya menemukan 78 ketulan mampat disyaki ganja disembunyikan.

“Polis turut menyerbu sebuah rumah di Tanjung Tokong serta menahan seorang lelaki yang menaiki kereta jenis To­yota Vellfire di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Juru, Seberang Perai Tengah,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Tambah Roslee, nilai keseluruhan dadah dirampas dianggarkan mencecah RM236,000 iaitu lebih 78 kg dan sekiranya terlepas boleh digunakan seramai 158,000 orang.

Jelas beliau, pihaknya turut menyita akaun bank suspek membabitkan nilai RM295,472 serta menyita sebuah kereta serta motosikal bernilai RM154,000.

“Ketiga-tiga lelaki yang ditahan berusia antara 31 hingga 42 tahun dan mereka dipercayai ahli sindiket yang aktif sejak sebulan lalu selain seorang daripada mereka mempunyai tujuh rekod kesalahan narkotik.

“Berdasarkan siasatan awal, polis percaya kesemua ganja berkenaan diseludup dari negara jiran untuk edaran pasaran tempatan,” ujarnya sambil memberitahu kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.