Dalam kejadian pukul 5.05 petang itu, anggota wanita berusia 30-an terbabit mendakwa mengalami sesak nafas dan lebam di bahagian muka, dada dan lengan akibat perbuatan lelaki tersebut.

Menurut sumber, pergaduhan antara pasangan itu berpunca daripada tindakan lelaki berusia 30-an tersebut yang merampas telefon bimbit milik mangsa kononnya untuk memadam gambar.

“Mangsa cuba mendapatkan semula telefon tersebut sehingga tercetus pergelutan dan suspek bertindak menampar serta menumbuk mata anggota PGA terbabit.

“Mangsa kemudian dibawa ke beberapa lokasi termasuk rumah sewa suspek, dan sepanjang perjalanan itu, mangsa mendakwa suspek menghentak kepalanya ke papan pemuka kereta serta dinding rumah beberapa kali,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, suspek sudah ditahan tengah hari semalam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Ini merupakan masalah hubungan, bagaimanapun, kita tetap siasat kes tersebut dan sedang menunggu laporan perubatan anggota wanita terbabit.

“Hasil siasatan akan diserahkan kepada Pengarah Perundangan untuk tindakan lanjut,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE