Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, setakat ini pihaknya hanya menahan dua individu bagi membantu siasatan iaitu isteri mangsa dan bekas suami wanita tersebut.

“Tiada tangkapan baharu dan kita tangkap dua orang sahaja pada Selasa lalu. Laporan berita yang viral (tular) itu tidak betul.

“Saya menafikan pihak kita ada menahan dua anak tiri mang­sa itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Terdahulu, beberapa portal berita melaporkan polis menahan dua anak tiri mangsa malam tadi yang ketika itu berada di rumah datuknya.

Ditanya mengenai motif kejadian tersebut, Mazlan enggan mengulas lanjut berikutan tidak mahu mengganggu siasatan.

Pada 14 Jun lalu, Nazrin maut selepas terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur rumah teres dua tingkat beliau di Mutiara Damansara dekat sini akibat terhidu asap berpunca daripada letupan telefon bimbit milik mangsa.

Bagaimanapun, pada 3 Ogos lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengklasifikasikan semula kematian Nazrin sebagai kes bunuh berikutan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menemukan kesan petrol dalam bilik Nazrin yang terbakar.