Sebaliknya, Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya secara agresif dan berterusan melakukan operasi serta menahan mereka yang terlibat dengan aktiviti itu di seluruh daerah ini termasuk di kawasan perumahan tersebut.

Malah, katanya, dalam operasi sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik SPU bersama pasukan narkotik ibu pejabat polis kontinjen (IPK) negeri malam tadi, seramai 17 lelaki ditahan di kawasan tersebut atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Jelas beliau, dalam operasi bermula pukul 8 malam hingga 6 pagi tadi itu, enam lelaki ditahan bersangkut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala 11 lelaki ditahan kerana kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) ADB 1952.

"Selain itu, kita turut merampas dadah dipercayai heroin sebanyak 1.9 gram serta 0.2 gram syabu daripada mereka yang ditahan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan sebuah portal berbahasa Inggeris semalam yang mendakwa aktiviti pengedaran dan penagihan dadah berlaku secara terbuka di kawasan perumahan kampung di Ujung Batu di sini sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

Malah, laporan itu yang memetika kenyataan penduduk turut mendakwa mereka yang terlibat dalam kegiatan tersebut tidak takut melakukannya secara terbuka kerana dilindungi pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, serbuan yang dilakukan pihaknya malam tadi bukan sahaja dilakukan setelah isu berkenaan tular sebaliknya telah dilaksanakan sejak Januari lalu dan secara berterusan mengambil kira hasil maklumat orang awam.

Katanya, statistik hasil operasi bermula Januari hingga Julai misalnya merekodkan sebanyak 116 tangkapan yang mana 83 kes dibuka dan masing-masing di siasat di bawah pelbagai seksyen ADB 1952.

Selain itu, jelas beliau, terdapat juga tangkapan yang diserahkan untuk tindakan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta satu tangkapan individu yang dikehendaki polis.

"Rampasan keseluruhan bagi operasi yang dilakukan dalam tempoh sama di kawasan tersebut adalah syabu sebanyak 35.08 gram bernilai RM700 dan heroin sebanyak 304.56 gram bernilai RM5,800," katanya.

Tambah beliau, bagi operasi yang dilakukan bemula 1 hingga 7 Ogos lalu pula, seramai tiga tangkapan bersangkut Seksyen 12(2) dan satu tangkapan di bawah Sekyen 15 (1)(a) ADB 1952 dilakukan dengan rampasan syabu sebanyak 0.2 gram dan heroin (0.7 gram).

Dalam masa sama, beliau turut menyarankan orang awam sentiasa menyalurkan maklumat berkenaan kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di kawasan mereka ke talian Hotline 012-2087222 yang beroperasi 24 jam.

"Maklumat boleh di hantar beserta gambar, lokasi dan kegiatan dadah melalui aplikasi WhatsApp untuk dan pemberi maklumat tidak perlu khuatir terhadap keselamatan diri kerana semua butir maklumat yang disalurkan akan dirahsiakan,"katanya. - UTUSAN ONLINE