Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, siasatan mendapati kes penculikan yang didakwa dilakukan dengan sebuah kereta jenis Nissan Sunny itu adalah palsu.

"Susulan dakwaan tersebut, polis telah menahan dua wanita yang menggunakan kereta Nissan Sunny seperti mana yang telah tular.

"Hasil soal siasat mendapati kedua-duanya mengaku menggunakan kereta tersebut yang dibeli daripada anak saudara mereka, namun tiada kaitan dengan kes penculikan," katanya di sini hari ini.

Menerusi rakaman suara yang tular itu, seorang wanita mendakwa menerima panggilan daripada individu dipercayai penjaga anak-anaknya ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik.

Wanita itu mendakwa terdapat sebuah kereta Nissan Sunny berwarna putih dipandu seorang lelaki dilihat berlegar-legar di kawasan rumahnya ketika dia pulang sebelum dia pergi ke balai polis bagi membuat laporan.

Dalam rakaman suara selama satu minit 38 saat tersebut, wanita berkenaan turut mendakwa dia telah diberitahu oleh pihak polis yang mana berlaku satu kes penculikan kanak-kanak di kawasan perumahannya di Bertam Putra, di sini minggu lalu.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata,

orang awam diminta tidak mudah terpengaruh dengan sebarang rakaman yang tular kerana yang belum dipastikan kesahihannya.

"Orang awam juga dinasihatkan berhubung terus dengan pihak polis untuk pengesahan kebenarannya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di talian 04-5762222," katanya. - UTUSAN ONLINE