Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Abdul Rani Alias berkata, kesemua suspek yang terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dan empat lelaki warga Myanmar berjaya diberkas dalam kejadian pada pukul 7.45 pagi.

Katanya, pihak polis mula mengejar kenderaan itu bermula pukul 5.30 pagi di Jalan Pengkalan Pegoh di sini setelah dilihat dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota polis peronda kenderaan pelbagai guna (MPV) telah mengarahkan kenderaan itu berhenti namun pemandunya enggan dan terus memecut laju kenderaan tersebut.

“Pihak polis mengejar dan mengekori suspek tetapi suspek terus memandu laju dalam keadaan agresif dengan melanggar beberapa buah kenderaan sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abdul Rani, dalam usaha melarikan diri, kenderaan tersebut telah memasuki Jalan Changkat Larang menghala ke Batu Gajah dan melalui Jalan Ipoh-Lumut, Tronoh, Tanjung Tualang dan Seri Iskandar.

Katanya, pemandu kenderaan itu kemudiannya memasuki lebuh raya dengan melalui Plaza Tol Gopeng sebelum keluar di Plaza Tol Simpang Pulai dengan merempuh palang tol dan terus menghala ke jalan menuju Cameron Highlands.

“Apabila sampai di Kawasan Perindustrian Keramat Pulai, anggota telah memberi amaran kepada suspek untuk memberhentikan kenderaan dengan menggunakan pembesar suara MPV namun suspek enggan berbuat demikian.

“Keengganan suspek menyebabkan pihak polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan tersebut dan apabila tiba di satu selekoh, kenderaan itu terbabas sendiri ke dalam parit di sebelah kiri jalan,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek yang cuba keluar dari kenderaan untuk melarikan diri, enggan memberikan kerjasama dan bertindak agresif ketika mereka mahu ditangkap.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati suspek lelaki warga tempatan itu mempunyai dua rekod kesalahan lampau bersabit kes cabul dan curi manakala empat lelaki warga Myanmar itu pula tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Pemeriksaan menyeluruh ke atas kenderaan tersebut juga mendapati Triton itu menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Ujar beliau, tangkapan dilakukan hasil kerjasama MPV Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, IPD Batu Gajah dan IPD Perak Tengah. - UTUSAN ONLINE