Suspek berusia 34 tahun dipercayai terlibat dengan kes samun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi setelah dikejar sejauh 60 kilometer polis peronda kenderaan pelbagai guna (MPV) dari Sungai Kapar, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, kejadian berlaku apabila polis MPV melihat kenderaan dinaiki suspek jenis Proton Saga berada dalam keadaan mencurigakan.

"Apabila melihat polis, suspek bertindak memecut kereta tersebut menghala ke Kuala Selangor. Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit hasil bantuan empat buah MPV polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor.

"Pemeriksaan dilakukan mendapati suspek gagal menunjukkan kad pengenalan selain menemukan sebilah parang berhulu plastik hitam panjang. Pada masa sama, kita juga menemukan sebuah topi keledar warna biru jenama dipercayai digunakan untuk menyamun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mazelan, semakan pihaknya turut mendapati kenderaan yang dinaiki suspek merupakan kenderaan curi manakala dia juga turut mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan curi kenderaan.

Kes itu katanya disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. - UTUSAN ONLINE