Ketua Polis negeri, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pemeriksaan berterusan di jeti itu bertujuan membanteras jenayah khususnya berkaitan aktiviti penyeludupan dadah melalui feri-feri penumpang.

Menurutnya, pemeriksaan itu diperkuatkan dengan kehadiran anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri yang menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) selain JSJN Kedah terhadap individu dan bagasi di jeti berkenaan.

"Pemeriksaan dan rondaan ini dilaksanakan pada waktu-waktu puncak melibatkan pergerakan keluar masuk penumpang yang tinggi ke pulau itu, pasukan ini terdiri daripada tiga orang anggota dan seekor anjing pada satu-satu waktu penugasan.

"Namun, ini tidak bermakna kita bertugas secara sendirian, sebaliknya agensi dan jabatan kerajaan lain juga melaksanakan peranan masing-masing dengan cara yang berbeza dan pelbagai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 3 Julai lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak menggempur Pulau Langkawi dan memberkas lebih 118 orang yang disyaki terlibat dalam jenayah dadah di pulau peranginan itu termasuk seorang remaja yang berusia 13 tahun.

Operasi yang dinamakan Op Mahsuri itu susulan pendedahan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang tidak menolak kemungkinan Langkawi akan menjadi 'gedung' dadah suatu hari nanti jika lambakan bahan terlarang itu tidak dibanteras segera.

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, bagi meningkatkan keyakinan orang awam juga, pihaknya sentiasa melakukan operasi bersepadu, rondaan Pasukan Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB), rondaan cegah jenayah dan jalinan bersama penduduk setempat sebagai pelengkap kepada usaha pencegahan dadah dan jenayah.

Katanya, perancangan dan pelaksanaan penugasan polis akan lebih kemas dan berkesan sekiranya orang awam menyalurkan lebih banyak maklumat kepada pihak polis berkaitan aktiviti terbabit.

"Orang awam boleh berikan maklumat secara bertulis, lisan atau menggunakan aplikasi moden seperti WhatsApp, e-mel dan sistem pesanan ringkas dan saya ingin bagi jaminan bahawa mereka selamat untuk menyalurkan maklumat itu kerana identiti mereka dilindungi oleh undang-undang," katanya. - UTUSAN ONLINE