Ketua Polis Negeri, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, kejadian itu berlaku ketika beberapa bot nelayan tempatan yang sedang memukat di perairan Pulau Langgun dekat Langkawi, didatangi oleh empat suspek tersebut.

“Kira-kira pukul 8.33 pagi, pihak kami menerima maklumat dari seorang pesara polis Marin di Langkawi yang memaklumkan terdapat sekumpulan nelayan didatangi lelaki bersenjata dan mengarahkan supaya masuk ke negara jiran.

“Pihak kami kemudiannya menghubungi mangsa dan mengatur gerak para pegawai serta anggota ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, dua bot polis marin kemudiannya menuju ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, pihak kami mendapati terdapat dua sampan ekor panjang sedang membawa tawanan bot dan nelayan tempatan ke perairan negara jiran.

“Menyedari kehadiran pihak polis, mereka cuba memecut namun berjaya dipintas setelah 20 minit dikejar,” katanya.

Tambahnya, tiga pucuk pistol dipercayai milik perompak ditemukan di atas sampan tersebut.

“Bagaimanapun tiada tembakan dilepaskan oleh kedua-dua pihak. Ketika ini keempat-empat suspek telah dibawa ke Jeti Polis Marin, Bukit Malut,” katanya.