Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, semua mereka ditahan dalam beberapa serbuan Ops Noda di premis disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut bermula 16 Mac lalu hingga malam tadi.

Menurutnya, dalam serbuan sama, seramai 11 wanita tempatan, 59 lelaki tempatan dan 10 lelaki warganegara asing ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti tersebut sama ada sebagai penjaga pusat hiburan, pemilik premis atau pelayan.

"Daripada 107 wanita yang ditahan itu, seramai lapan orang merupakan warganegara China, Indonesia (26 orang), Thailand (27 orang), Vietnam (45 orang) dan seorang wanita Sri lanka," katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan sama juga, polis menyelamatkan 46 wanita Vietnam, tiga wanita Indonesia, dua wanita Thailand dan seorang wanita Myanmar yang dipercayai dipaksa bekerja sebagai pelayan pelanggan di pusat hiburan dan memberi perkhidmatan seks.

Selain itu, tambahnya, sebanyak 16 saman telah dikeluarkan kerana premis hiburan yang beroperasi tanpa lesen perniagaan di bawah Enakmen Hiburan Negeri Johor 1998 selain empat saman kerana melanggar syarat lesen atau menjalankan perniagaan melebihi had waktu ditetapkan.

"Polis Johor sentiasa komited untuk membanteras gejala ini dengan meningkatkan pemantauan ke atas sasaran yang dikenalpasti dan pada masa sama menjalankan operasi secara berterusan," katanya. - UTUSAN ONLINE