Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Asisten Komisioner Lukas Aket berkata, dalam serbuan itu pihaknya berjaya menahan lapan lelaki berusia antara 22 hingga 50 tahun.

Menurutnya, pada serbuan pertama di Taman Aman, Muar pada pukul 9.30 malam itu, polis berjaya menahan tujuh lelaki termasuk dua warganegara Indonesia di sebuah pondok berdekatan kawasan perumahan taman tersebut.

"Pemeriksaan ke atas mereka, kita berjaya menemui dadah disyaki jenis syabu seberat 1.050 kilogram (kg) bernilai RM72,800 serta merampas dua pucuk pistol jenis Revolver 38 dan sebutir peluru hidup 9mm.

"Kita turut menyita dua buah kereta iaitu sebuah kereta Proton Persona dan Perodua Myvi bernilai RM38,000," katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini

Lukas berkata, kejayaan tangkapan kedua pula hasil serbuan di Taman Miri, Batu Pahat yang dilakukan pada pukul 3.30 pagi dan berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan.

Jelasnya, hasil siasatan dijalankan polis menjumpai 6.945kg dadah dipercayai jenis heroin dan 2.135kg syabu bernilai RM279,070. - UTUSAN ONLINE