Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi berkata, ini  ekoran satu laporan polis yang telah dibuat Selasa lalu oleh seorang penduduk Kampung Padang Jambu yang terserempak dengan suspek ketika cuba memasuki kediamannya.

Menurut Baharudin, dalam kejadian kira -kira pukul 12.30 tengah hari itu, penghuni rumah tersebut dikatakan terserempak dengan suspek yang cuba memasuki kediaman melalui sebuah tingkap kecil di dapur, dan sempat merakam gambar sebelum suspek melarikan diri.

Baharudin mengingatkan  orang ramai agar menghubungi pihak polis dan tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan suspek yang dikatakan sering membawa senjata seperti pisau kecil dan suspek dibimbangi bertindak di luar kawalan.

Menurut Baharudin, kes akan disiasat di bawah seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat sehingga tertangkapnya suspek boleh hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk memberi maklumat atau menghubungi Bilik Gerakan di talian 09 - 8482222. - UTUSAN ONLINE