Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.45 pagi ketika mangsa dan beberapa jemaah yang lain sedang menunaikan solat subuh di masjid berkenaan.

Katanya, suspek yang dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an itu datang ke masjid secara berseorangan dan bagi mengelakkan identitinya dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) dia menutup sebahagian mukanya dengan menggunakan baju yang dipakainya.

“Sebelum itu suspek dikatakan berada di pekarangan masjid untuk meninjau keadaan sekeliling dan apabila jemaah sedang beribadah dia masuk ke dalam ruangan solat wanita.

“Suspek kemudian mengambil dua beg tangan milik jemaah wanita lalu melarikan diri sebelum jemaah selesai solat subuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Said, kejadian itu disedari oleh mangsa setelah mendapati beg tangan mereka tiada dan terus memberitahu pihak pengurusan masjid lantas pemeriksaan rakaman CCTV dilakukan.

“Mereka yang mengenali suspek diharap dapat tampil membantu siasatan agar kita dapat mencegah kes jenayah di masjid seperti ini daripada terus berlaku.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di talian 09-8592222,” katanya. - UTUSAN ONLINE