Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, kedua-dua lelaki terbabit dipercayai merupakan anggota kumpulan Geng Adib yang aktif dengan kegiatan pecah rumah serta melarikan kenderaan sejak Januari lalu.

Katanya, lelaki yang dikenali sebagai Md. Azman Abdullah, 40, yang merupakan warga Singapura serta Wardihansahnasution Othman, 25, merupakan rakan jenayah tiga individu yang ditahan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sebuah restoran di Jalan Abdul Samad, Johor Bahru pada 5.45 petang, Ahad lalu.

“Kita menerima aduan daripada mangsa pada 20 Mac lalu bahawa rumahnya di Taman Pulai Utama, Kangkar Pulai telah dipecah masuk oleh tiga lelaki dan bertindak daripada maklumat, kami berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia 26 hingga 28 tahun serta merampas sebuah kereta jenis Mercedes Benz serta pelbagai barangan lain antaranya 41 utas jam tangan pelbagai jenama, 10 buah telefon bimbit, sepuluh kunci pelbagai jenis kenderaan, tujuh kepiong nombor pendaftaran kenderaan dan alatan pecah rumah.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamin dan kami memburu dua lagi suspek yang dipercayai merupakan rakan jenayah mereka,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, di sini sebentar tadi.

Jelas Noor Hashim, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dengan 16 kes kes pecah rumah dan melarikan kenderaan di sekitar daerah Iskandar Puteri, Johor Bahru selatan dan Johor Bahru Utara sejak Januari lalu.

Katanya semua suspek ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat di bawak Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda. - UTUSAN ONLINE