Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya telah berhubung dengan Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) untuk menyelaraskan proses penghantaran pulang Jamal secepat mungkin ke negara ini.

Bagaimanapun beliau tidak dapat memberikan tempoh masa bila Jamal akan dibawa pulang kerana ia bergantung kepada kerjasama serta persetujuan daripada pihak berkuasa republik itu. 

“Kita sudah berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia dan kita akan bawa dia (Jamal) balik secepat mungkin, tapi mesti melalui proses-proses tertentu. 

“Kita juga masih tidak dapat kepastian cara mana dia (Jamal) ke Indonesia sebelum ini, kita percaya melalui jalan tikus. Jadi semua perkara ini perlu diselesaikan dulu sebelum bawa dia balik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini. 

Ditanya bagaimana Jamal ditahan, Mohamad Fuzi memberitahu, beliau sendiri tidak dapat maklumat terperinci tentang penahan tersebut. 

“Saya tidak dapat maklumat terperinci (bagaimana Jamal ditahan), walaupun saya telah berhubung secara langsung dengan POLRI. Mereka hanya mengesahkan tentang penahanan Jamal dan memaklumkan yang dia kini dalam keadaan baik,” ujarnya.

Tambahnya, pihak polis berharap dapat maklum balas segera daripada POLRI manakala pasukan khas juga telah ditubuhkan untuk membawa pulang Jamal, jika diperlukan. - UTUSAN ONLINE.