Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, siasatan itu penting kerana ia dapat mengenal pasti punca kenderaan itu tercampak ke dalam laut selepas dirempuh Toyota Vios ketika dalam perjalanan dari arah Georgetown ke Butterworth.

Sehingga kini, katanya, jambatan itu mempunyai ciri-ciri keselamatan yang memenuhi reka bentuk antarabangsa.

"Pihak kami telah merancang untuk memasang kamera mengesan kelajuan di jambatan berkenaan dan cadangan itu dijangka diserahkan kepada kerajaan untuk pertimbangan. Pada masa ini, ia hanya dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) untuk tujuan pemantauan.

"Kita juga terbuka kepada cadangan-cadangan daripada pihak lain termasuk kerajaan negeri," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 14 sempena perayaan Tahun Baru Cina di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di sini hari ini.

Pelancaran disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau diminta mengulas cadangan kerajaan negeri Pulau Pinang supaya penghadang dipasang di tepi jambatan itu bagi mengelakkan kenderaan terjatuh ke dalam laut sekiranya berlaku kemalangan.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, sebuah kenderaan SUV tercampak ke dalam laut selepas dirempuh Toyota Vios dalam kemalangan di atas Jambatan Pulau Pinang.

Azman menarik perhatian, jumlah kemalangan maut di jambatan itu menurun kira-kira 54 peratus atau enam kes sepanjang tahun lalu berbanding 13 kes pada 2017.

Jumlah kemalangan pula menurun kira-kira empat peratus kepada 332 kes berbanding 345 kes untuk tempoh yang sama. - UTUSAN ONLINE