Mangsa lelaki berusia lingkungan 40-an membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang pada 10 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, kejadian berlaku apabila mangsa melihat iklan pinjaman wang di media sosial dan terus berurusan tanpa bersemuka dengan suspek pada 5 Ogos lalu.

Menurutnya, mangsa hanya berhubung melalui aplikasi WhatsApp untuk membuat pinjaman peribadi sebanyak RM10,000 dan pada masa sama mendedahkan maklumat peribadinya dengan menunjukkan imej MyKad dan slip gaji.

"Pada mulanya suspek telah meminta mangsa supaya membuat bayaran sebanyak RM380 sebagai wang setem, sebelum meminta pelbagai lagi bayaran bagi tujuan itu.

"Selepas mangsa diminta lagi membuat bayaran tunggakan kes guaman sebanyak RM2,000, baru dia menyedarinya telah ditipu sehingga mengalami kerugian RM15,000," katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Beliau berkata, sebaik menerima laporan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, katanya orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dengan sindiket berkenaan supaya tidak menjadi mangsa.

Ahmad Azizul juga berkata, langkah yang perlu diambil bagi memastikan diri tidak menjadi mangsa kes itu termasuk berwaspada dengan iklan yang ditawarkan di laman sosial, lebih berhati-hati dengan janji yang ditawarkan seperti kadar faedah bayaran rendah atau sifar.

"Selain itu jangan mendedahkan maklumat peribadi serta memberi nombor pin kad bank kepada individu tidak dikenali di laman sosial," katanya.- UTUSAN ONLINE