Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Chan Teik Paing berkata, kehadiran VIP terbabit dipercayai atas jemputan Persatuan Pasukan Keselamatan Rakyat Setia Berjasa Sukarelawan Malaysia untuk me­nyampaikan anugerah tersebut.

“Siasatan awal difahamkan kerabat diraja terbabit merupakan penaung pertubuhan tersebut.

“Bagaimanapun, status VIP tersebut dalam persatuan berkenaan masih dalam siasatan,” kata ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang melaporkan tembelang seorang lelaki bergelar Datuk yang menawarkan pingat palsu terbongkar apabila polis menggempur majlis penganuge­rahan pingat itu yang berlangsung di sebuah hotel di sini kelmarin.

Lelaki berusia 50-an yang ditahan pada pukul 1.30 petang itu ‘menjaja’ nama kerabat diraja se­buah negeri di utara tanah air bagi memperdayakan mangsa terdiri daripada ahli perniagaan dan pesara kerajaan dalam lingkungan usia 30-an hingga 60-an.

Teik Paing berkata, setakat ini hanya seorang sahaja penerima pingat yang tampil membuat laporan polis mengenai penganugerahan pingat disyaki palsu itu.

Selain itu, tambahnya, polis juga hanya menahan seorang sahaja yang merupakan suspek utama iaitu seorang lelaki untuk membantu siasatan.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar dengan tujuan menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit ke­salahan,” katanya.