Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, maklumat tersebut hasil siasatan dilakukan keatas suspek yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah tersebut.

“Awalnya mereka ambil pil kuda untuk membangkitkan daya seksual. Namun semua itu berubah selepas itu apabila mereka mula ketagih dengan pil.

“Akhirnya mereka terjemurus dan menjadi penagih tegar,” katanya dalam sidang akhbar rampasan pil kuda, syabu dan herion di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, pada Jumaat dan Sabtu lalu, pihaknya berjaya merampas 1,300 bijil pil kuda, 52 gram syabu dan tiga gram herion dalam dua serbuan berasingan di Kampung Gaung serta Bunut Susu.

Katanya, dalam kedua-dua serbuan itu polis berjaya menahan tiga lelaki berusia 27 hingga 37 tahun dipercayai pengedar dadah secara kecil-kecilan di kawasan tersebut.

“Rampasan dadah dalam kedua-dua operasi itu berjumlah RM18,000,”ujarnya.-UTUSAN ONLINE