Mangsa yang merupakan pesara kerajaan berumur 62 tahun itu mula terjerat dalam sindiket berkenaan selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa didakwa kononnya mempunyai tunggakan pinjaman dengan bank tersebut.

Selain itu, tambah beliau, mangsa turut dituduh menyimpan sebanyak 16 kilogram dadah selain didakwa terlibat dalam sindiket pengubahan wang haram.

"Akibat terlalu takut dan terkejut selepas menerima panggilan tersebut, mangsa telah bersetuju untuk membuat pemindahan wang ke dalam akaun bank diberikan suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noorzainy berkata, siasatan mendapati mangsa telah melakukan sekali transaksi pindahan wang ke dalam satu akaun dalam masa sehari melibatkan wang berjumlah RM30,000.

Tambahnya, mangsa juga dinasihatkan untuk merahsiakan hal tersebut daripada keluarga.

"Dia bagaimanapun menyedari telah ditipu selepas diberitahu oleh keluarga yang mana panggilan itu adalah 'scammer' sebelum membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, Noorzainy turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah panik ketika menerima panggilan daripada individu tidak dikenali sebaliknya menghubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk pengesahan. - UTUSAN ONLINE

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - UTUSAN ONLINE