Mangsa pada mulanya menerima panggilan pada 12 Julai lalu daripada individu bernama Firdaus menerusi nombor 019-3289580 yang kononnya mendakwa pegawai polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan berkata, individu berkenaan mendakwa nama mangsa digunakan sindiket aktiviti judi online di Kuala Lumpur dan meminta mangsa memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan kerana akaunnya akan disekat Bank Negara Malaysia (BNM).

Jelasnya, mangsa menafikan terlibat dalam aktiviti itu namun dimaklumkan akan ditangkap polis sekiranya enggan memberikan kerjasama.

“Mangsa yang takut kemudiannya mengikut arahan pemanggil berkenaan dan membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun bank yang diberikan suspek.

“Bagaimanapun, selepas berasa tertipu dan diberitahu panggilan itu adalah ‘scammer’, mangsa kemudiannya membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anbalagan mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka apabila menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mendakwa daripada mana-mana pihak berkuasa.

Katanya, orang ramai tidak seharusnya mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank atau kad ATM apatah lagi memindahkan wang ke akaun individu yang tidak dikenali.

Jelas beliau, mana-mana individu yang menerima panggilan sebegitu seharusnya merujuk kepada pihak polis atau institusi kewangan bagi mendapatkan kesahihan berkenaan dakwaan yang dibuat pemanggil berkenaan.

“Kes begini sudah terlalu kerap dilaporkan dengan jumlah kerugian yang sangat besar, jadi kita berharap orang ramai lebih peka dengan modus operandi sindiket ini dan tidak terus menjadi mangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE