Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian itu berlaku apabila kedua-dua mangsa bertengkar mempertahankan kumpulan bermotosikal tersebut dengan tetamu majlis berkenaan.

“Pertengkaran itu kemudian bertukar menjadi pergaduhan sehingga kedua-dua beradik tersebut maut ditetak.

“Kita tidak dapat memberikan maklumat terperinci mengenai kes terbabit kerana masih lagi dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan dua beradik iaitu Abulatiff Alzander @ Arifin, 36, dan Sulaiman Alzander @ Arifin, 44, maut akibat ditetak, dipercayai bergaduh dengan sekumpulan lelaki dalam majlis tersebut di pekarangan Blok B, Flat Damansara Bestari, Seksyen 19 awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu berlaku akibat perselisihan faham dengan sekumpulan suspek, dipercayai tetamu dalam majlis berkenaan.

Akibat pergaduhan tersebut, kedua-dua beradik itu maut akibat diserang menggunakan parang, selain dipukul menggunakan kayu besbol.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi tangkapan dibuat selepas ini yang mungkin terlibat dalam kejadian itu.

Di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dekat sini tujuh suspek ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan dua beradik tersebut.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar, Hairul Azhar Mohd. Ishak berkuat kuasa hari ini sehingga Khamis ini.

Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 11 pagi dengan memakai baju lokap berwarna oren dan ungu dengan diiringi beberapa anggota polis.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30 dan 50-an disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.