Kejadian itu menimpa mangsa berumur 49 tahun di Butterworth di sini yang pada mulanya keluar dengan seorang lelaki dikenali menerusi media sosial tiga hari sebelumnya kira-kira pukul 3 pagi pada 5 Mac lalu.

Bagaimanapun, ketika berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Bagan Ajam di sini, mangsa yang sebelumnya ke tandas mendapati rakan baharunya itu hilang bersama kenderaannya.

Turut dilarikan bersama kereta oleh suspek adalah pelbagai barangan dan dokumen peribadi mangsa seperti kad pengenalan, kad bank dan pasport serta geran kereta.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, bertindak daripada laporan kejadian itu, polis kemudian menggerakkan Op Lejang dan berjaya menahan suspek serta tiga lagi rakannya di sini kira-kira pukul 6 petang semalam.

Katanya, kesemua suspek berumur antara 23 hingga 42 tahun itu dipercayai merupakan anggota sindiket mencuri dan meleraikan komponen kenderaan untuk dijual.

Turut dirampas, tambah beliau, dua buah beg; seutas jam tangan; sebuah telefon bimbit dan walkie-talkie; beberapa keping kad pelbagai jenis dan rangka kereta Perodua Myvi dengan enjin serta nombor casis yang telah diganggu.

“Selain itu, kita juga berjaya menemukan beberapa komponen kereta Perodua Myvi yang telah dileraikan serta pelbagai peralatan bengkel,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, hasil soal siasat awal polis juga mendapati semua suspek mengaku terlibat dalam kes curi kenderaan dan meleraikan komponen kenderaan dipercayai untuk dijual dengan harga mengikut pasaran skrap yang lebih murah.

“Semua suspek juga sudah direman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE