OMAR MAMMAH

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, perintah berkurung baharu itu akan bermula esok (26 April) pada pukul 6 petang serta berkuat kuasa selama 24 jam di bawah Seksyen 31(1) Akta Polis 1967.

Katanya, perintah berkurung ini akan dilanjutkan oleh Menteri Dalam Negeri untuk selama 14 hari di bawah Seksyen 31(4) Akta Polis 1967 mulai dari Sabtu ini (27 April) hingga 11 Mei depan.

“Perintah itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Dengan berkuatkuasanya perintah berkurung ini, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang telah diisytiharkan antara pukul 6 petang sehingga 6 pagi pada tarikh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Omar memberitahu, perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak dicerobohi oleh pengganas.

Jelas beliau, ini bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat yang berada di kawasan daratan ESSzone selain memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot.

“Berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

“Kuasa bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung diberi kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSzone,” ujarnya.- BERNAMA