Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, perintah berkurung tersebut bermula kira-kira pukul 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Ujarnya, orang ramai yang tinggal di kawasan itu dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan pada tarikh dinyatakan.

"Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

"Perintah berkurung juga untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di kawasan daratan Esszone," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Omar memberitahu, perintah berkurung memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha calet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di Esszone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung," ujarnya.- BERNAMA