Perkara itu disedari oleh abang wanita tersebut yang terdengar bunyi bising seolah-olah seperti orang sedang mengerang kesakitan dari arah bilik adiknya itu, kira-kira pukul 6 pagi.

Sejurus selepas itu, abang wanita berkenaan telah menghubungi pihak polis bagi memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Ketua Polis daerah, Superintenden Wari Kiew berkata, ketika kejadian, abang wanita tersebut memaklumkan bahawa adiknya berada dalam keadaan tidak bermaya di bawah katil manakala bayi tersebut diletakkan di atas tempat tidur itu.

Katanya, abang wanita itu kemudian memanggil kesemua ahli keluarganya dan memaklumkan mengenai kejadian sebelum membawa adiknya ke hospital.

“Wanita itu dikatakan hanya menyedari dia mengandung sejak Mei lalu dan tidak pernah merujuk kepada mana-mana klinik atau hospital kerana takut diketahui keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, hasil keterangan abang mangsa lagi, adiknya itu sempat mendukung bayi berkenaan selepas dilahirkan.

“Semasa mendukung didapati bayi tersebut tersedak dan bergerak. Wanita itu menepuk belakang bayi tersebut untuk menghilangkan sedak dan sejurus selepas itu bayi berkenaan didapati sudah tidak bergerak.

“Wanita berkenaan telah meletakkan bayi di atas katil dan dalam keadaan lesu serta menahan sakit, dia telah baring di sebelahnya sehingga kejadian itu disedari oleh ahli keluarga.

“Wanita itu juga memaklumkan bahawa tiada niat untuk menyembunyikan kelahiran tersebut,” tambah beliau.

Katanya lagi, mayat bayi berkenaan telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk proses bedah siasat.- UTUSAN ONLINE