Bot pancung yang dipercayai dinaiki tiga lelaki warga Indonesia itu dikesan menuju masuk ke perairan negara oleh Pusat Pengawasan Laut Tanjung Piai pada 2.13 pagi (15 Okt) sebelum kesemua suspek dikejar pihak APMM di kawasan paya 2.29 batu nautika dari Pulau Kukup, dekat Pontian.

Pengarah Maritim negeri Johor Laksamana Muda Maritim Datuk Abu Bakar Idris berkata ekoran daripada lemparan bom yang dipercayai buatan sendiri itu, seorang daripada enam anggotanya iaitu Laskar Kanan Maritim Abdul Hamid Shaaban pengsan selepas mengalami kecederaan di bahagian mata

Bagaimanapun, Abdul Hamid telah menerima rawatan di Hospital Pontian sebagai pesakit luar, kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Abu Bakar, walaupun ketiga-tiga warga asing itu lolos namun pihaknya berjaya merampas sebanyak 2,500 kotak rokok kretek dan putih pelbagai jenama antaranya Malboro dan Gudang Garam yang diletakkan di dalam 19 karung guni bernilai

Bot yang disyaki itu memecut ke paya bakau selepas aset kita cuba menghampiri, namun tekong serta awak-awak nekad meredah paya bakau untuk melarikan diri dan mereka gagal dikesan.
"Menyukarkan kita apabila mereka masuk kawasan paya kerana aset kita tidak boleh memasuki kawasan yang cetek dan ia boleh merosakkan aset," tambah beliau lagi.

Ekoran daripada insiden itu, beliau berharap agar pihak kerajaan memberi bantuan dengan memperuntukkan beberapa aset kepada APMM Johor terutama bot laju bagi memudahkan operasi mencegah penyeludupan.

"Modus operandi mereka adalah dengan menggunakan bot laju yang kecil berbanding bot besar untuk mengaburi mata, mereka juga tahu laluan tikus, ia menyukarkan kerja kita untuk menahan mereka." katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Justeru itu, katanya APMM akan terus melakukan rondaan dan pemantauan di sempadan perairan negara untuk mencegah aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim. - BERNAMA