Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, anggota polis tersebut terpaksa melepaskan tembakan apabila suspek berusia 34 tahun dan bersenjatakan pisau itu cuba menyerang mereka biarpun amaran telah diberi.

Lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas terkena tiga das tembakan di dada dan kaki.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, ketika kejadian, dua pekerja berada di dalam kedai tersebut dan seorang daripada mereka telah menghubungi pihak polis yang tiba di lokasi beberapa minit selepas itu.

Beliau memberitahu, pada masa itu, penjenayah terbabit sedang membuka mesin menyimpan wang di bahagian hadapan kedai tersebut sebelum menyedari kehadiran pihak polis.

“Dua pekerja itu yang terkejut dengan kehadiran penjenayah telah lari bersembunyi di belakang kedai sebelum menghubungi pihak polis yang pada masa itu sedang melakukan rondaan di kawasan tersebut.

“Tiga anggota polis yang berada di kedai itu telah memberi amaran terhadap suspek supaya menyerahkan diri dan meletakkan senjata. Bagaimanapun suspek tidak mengendahkan arahan tersebut dan menyerang anggota kita.

“Dalam keadaan cemas, salah seorang daripada anggota polis yang cuba mempertahankan diri terpaksa melepas tembakan yang mengenai bahagian kaki dan dada suspek,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambah beliau, suspek terbabit kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II), Kota Bharu, untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Sementara itu, seorang saksi, Murugiah Karapaya, 69, berkata, dia menyedari kejadian tersebut selepas terdengar bunyi tembakan.

Murugiah yang menetap di rumah kedai bersebelahan lokasi kedai serbaneka tersebut berkata, selepas mendengar bunyi tembakan itu, dia tidak berani untuk turun dari kediaman untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku.

“Apabila keadaan reda dan ternampak kereta peronda polis berada di lokasi kejadian, saya memberanikan diri untuk keluar dari rumah.

“Apabila menghampiri kedai serbaneka itu, saya ternampak seorang lelaki sudah terbaring dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Mingguan Malaysia di lokasi kejadian mendapati kedai serbaneka tersebut sudah beroperasi seperti biasa.

Bagaimanapun, pekerjanya enggan ditemu bual kerana diarahkan majikan supaya tidak berbuat demikian.